Friday, May 14, 2010

Haiwan ‘bimbing’ anak bertanggungjawab

Oleh Dr. Teoh Hsien-Jin

Siri keenam

KETIKA kehidupan harian kita menjadi semakin rumit, ramai ibu bapa sedang mencari cara untuk mengajar anak mereka supaya lebih bertanggungjawab dan prihatin.

Untuk mencapai matlamat ini, mereka sering kali membeli buku-buku untuk dibaca, mencari pelbagai sumber fakta di Internet dan membayar untuk menyertai bermacam-macam bengkel keibubapaan.

Walau bagaimanapun, tanpa disedari oleh ramai daripada kita, salah satu alat bantuan paling efektif untuk mengajar tanggungjawab kepada anak-anak terletak di dalam kebanyakan rumah kita sendiri, iaitu haiwan kesayangan.

Menjaga haiwan kesayangan mempunyai banyak faedah yang telah terbukti. Di antaranya adalah yang melibatkan pengajaran kepada kanak-kanak mengenai tanggungjawab dan empati.

Tambahan lagi, untuk meningkatkan minat kanak-kanak dalam kerja akademik, guru-guru sering kali terpaksa menggunakan sesuatu sebagai saluran penerangan.

Dengan gaya ini, penerangan mengenai kebanyakan subjek seperti matematik, sains dan bahasa boleh dilakukan menerusi contoh haiwan.

Melalui penerangan yang begini, kanak-kanak belajar mengenai dunia haiwan dan juga belajar menghormati haiwan.

Sebelum diterangkan bagaimana penjagaan haiwan kesayangan boleh membantu mengajar tanggungjawab, ada baiknya diluangkan sedikit masa untuk berfikir mengenai unsur-unsur tanggungjawab yang kita mahu anak-anak kita peroleh.

Bagi memenuhi keperluan ini, kami patut menerangkan apa yang dimaksudkan dengan tanggungjawab. Tanggungjawab boleh dijelaskan dalam empat cara.

Pertama, mengetahui bagaimana tingkah laku kita memberi kesan pada orang lain dan oleh itu perlu berfikir sebelum bertindak. Kedua, belajar mematuhi jadual waktu.

Ketiga, bersikap baik hati dan bertimbang rasa pada semua yang ada di sekeliling kita, dan akhir sekali menjaga yang lain. Intipatinya, tanggungjawab adalah mengenai perasaan bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap makhluk lain.

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa haiwan menjadi calon yang sesuai sebagai alat bantuan mengajar. Ada beberapa sebab untuk perkara ini.

Haiwan mudah dijaga dan boleh disimpan di rumah. Lagipun, ibu bapa boleh mengajar mengenai haiwan dan secara langsung mengawasi anak-anak mereka ketika menguruskan haiwan.

Barangkali, yang paling penting ialah haiwan kesayangan umumnya menerima, tiada tanggapan dan memberikan kasih sayang tanpa syarat.

Perkara yang terakhir ini amat penting memandangkan kanak-kanak perlu ditunjukkan bahawa jika mereka bertimbang rasa dan bertanggungjawab ketika menjaga haiwan kesayangan, haiwan itu umumnya akan membalas kasih dan sayang.

Penyelidikan menunjukkan bahawa jika dilakukan dalam cara yang bertanggungjawab, memang banyak manfaatnya penjagaan haiwan kesayangan ini bagi kanak-kanak.

Ini termasuk memperkembangkan rasa tanggungjawab, empati, berat hati dan perasaan bertimbang rasa untuk yang lain.

Pemilik haiwan kesayangan seolah-olah mempunyai harga diri yang lebih tinggi dan berasa mereka lebih mampu melakukan banyak perkara.

Akhir sekali, ramai pemilik haiwan kesayangan cenderung untuk mempunyai sifat toleransi kerana ketika menjaga haiwan, kebanyakan pemilik terpaksa banyak bersabar.

Ada banyak cara di mana ibu bapa boleh menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab dalam diri anak-anak mereka menerusi penjagaan haiwan kesayangan.

* Didik anak mengenai tabiat kehidupan haiwan

Tanggungjawab bermula dengan kesedaran. Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak mengenai peraturan dan keperluan kehidupan haiwan.

Ini termasuk perkara seperti apa yang haiwan itu makan, di mana ia tidur, cara memberinya makan, mandi, bermain dan membersihkan kawasan kediamannya.

Sudah tentu, ibu bapa harus menunjukkan dahulu cara semua ini dilakukan, dan kemudian meminta anak itu menirunya.

* Libatkan anak dalam membuat keputusan mengenai keperluan haiwan kesayangannya

Rasa tanggungjawab juga terbentuk bila anak itu berasa mereka mempunyai hak ke atas haiwan tersebut.

Untuk mewujudkan perasaan ini, ibu bapa perlu memastikan bahawa anak mempunyai peranan dalam memutuskan cara haiwan itu hidup.

Ini termasuk keputusan di mana haiwan itu tidur, apa yang menjadi permainannya, warna sangkar, kurungan atau rumahnya, dan malah apa benda yang hendak dibeli untuk haiwan itu.

Ramai kanak-kanak suka membeli makanan dan memberi haiwan mereka makan.

* Secara perlahan-lahan dan beransur-ansur berikan anak itu tanggungjawab

Tanggungjawab termasuk memberi makan, membersih dan bermain dengan haiwan kesayangan. Untuk memberikan semua tugas ini sekali gus mungkin terlalu memberatkan.

Oleh itu, tugas-tugas ini harus bermula secara berperingkat. Umumnya, tugas yang berikutnya tidak boleh diberi kepada anak sehingga dia sudah biasa dengan tugas yang sebelumnya, dan ia pula telah menjadi satu rutin.

* Tunjukkan secara perlahan-lahan

Ketika menunjukkan sesuatu tugas kepada seseorang anak, perhatian hendaklah diberikan supaya ia diterangkan dalam cara yang mudah difahaminya.

Menggunakan bahasa teknikal yang sukar difahami hanya akan memberatkan anak itu hingga mengakibatkan dia keliru dan melakukan tugas dengan cara yang salah.

Bimbing anak itu ketika dia melakukannya dan segera betulkan bila kesilapan terjadi. Adalah lebih baik jika tugas diterangkan dalam cara yang bersistem dan berstruktur.

* Terangkan apa yang sedang dilakukan

Menunjukkan bagaimana tindak balas haiwan kesayangan itu dan bagaimana perasaannya adalah salah satu cara untuk mengajar anak itu perasaan empati.

Selepas haiwan itu diberi makan, bantu anak itu memerhatikan tingkah lakunya seperti telinga bergerak-gerak, kaki diregang, berbunyi miau atau menyalak, yang mana ini semua adalah tanda-tanda “terima kasih” dan kepuasan.

Dengan cara ini anak dapat melihat hasil positif daripada tindakannya. Di sebalik itu, ada baiknya jika ditunjukkan pada anak bagaimana perasaan haiwan tersebut bila ia terluka. Dengan cara ini anak akan mula berasa empati.

* Puji anak itu di atas usahanya

Untuk memastikan bahawa tingkah laku positif dan bertanggungjawab yang anak itu buat diulangkan, adalah penting supaya anak itu dipuji dengan segera.

Dengan demikian, anak tersebut akan membentuk perasaan yang baik terhadap haiwan kesayangannya, dan lebih sanggup untuk terus menjaganya dalam cara yang bertanggungjawab.

* Ajar anak-anak bermain dengan haiwan kesayangan

Belajar bermain dengan haiwan kesayangan dalam cara yang lembut dan mesra adalah sebahagian daripada pendidikan untuk menjadi seorang pemilik haiwan kesayangan yang bertanggungjawab.

Haiwan kesayangan itu perlu memahami bila ia boleh berkasar dan bila pula harus berlembut. Ibu bapa boleh membantu anak dengan tingkah laku ini.

Jika ibu bapa tidak pasti, dapatkan nasihat daripada doktor haiwan, jurulatih haiwan atau pakar psikologi yang mengkhusus dalam tingkah laku haiwan.

Menerusi pendidikan mengenai cara mendisiplin dan mengajar haiwan, anak itu akan dapat melihat dengan amat jelas tingkah laku makhluk, dan berikutan itu dia berada di dalam kedudukan yang baik untuk menjadi lebih bertimbang rasa pada mereka yang ada di sekelilingnya.

Bermain dengan haiwan kesayangan secara kerap juga membantu mengukuhkan perapatan di antara pemilik dan haiwan kesayangan.

*Dr. Teoh adalah Pakar Psikologi Kanak-kanak

No comments:

Post a Comment